Rabu, 13 Januari 2010

SEKELUMIT KASIH SUAMI

Pagi Rabu 13/1/2010 :Lebih kurang jam 8.20, saya melihat sepasang suami isteri. Si isteri sedang berjalan menuju ke deretan bangunan pejabat manakala suaminya pula melihatnya dari arah belakang di atas sebuah motorsikal yang dinaiki bersama dari rumah untuk menghantar isterinya ke tempat kerja sebelum si suami ke pejabatnya pula.
Si isteri menyeberang jalan, suaminya memandang dari belakang. Si isteri menghampiri pintu kaca pejabatnya, si suami terus memandang dari belakang. Si isteri tadi menaiki mata anak tangga satu persatu, si suami terus memandang. Sehingga aku melihat hujung kaki isteri hilang dari pandangan, si suami terus memandang. Lalu kemudian si suami berlalu dengan motosikalnya meninggalkan deretan bangunan pejabat tempat isterinya bekerja setelah dia
pasti isterinya `selamat' tiba.

Moralnya: Aku dapat merasakan betapa kasihnya suami itu kepada isterinya. Merenung terus susuk tubuh isterinya sehingga hilang dari pandangan matanya, tanpa si suami menyedari ada mata lain pula yang memerhatikannya dari belakang. Saya rakan sepejabat kepada isterinya yang melalui pintu masuk berkaca yang sama. Beruntunglah bagi si isteri ini kerana kasih suaminya. Tapi mungkin isteri itu tidak menyedari agaknya si suami tadi menunggu-nunggu mungkin isterinya akan menoleh melihatnya atau melambaikan tangan ke arahnya
tetapi si isteri tidak langsung menoleh kebelakang lagi kerana semangat untuk memulakan kerja atau menyangka suaminya sudah berlalu pergi. Apa kata lain kali toleh sedikit ke belakang dan lambailah tangan kepada suami anda tanda ucapan terima kasih kerana menghantar anda ke tempat kerja. Agar kasih terus bertaut kuat.

Selasa, 12 Januari 2010

BELUM ADA ' 1 SUARA ' DEMI ISLAM

ISU kalimah `ALLAH' di gereja yang menimbulkan polimik dalam masyarakat yang dicetuskan suratkhabar Herald-The Chatolic Weekly dan keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember 2009 lalu adalah bertentangan Perlembagaan Persekutuan dan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 yang digubal berasaskan Perkara 11(4) Perlembagaan negara.Keputusan Makamah Tinggi itu akhirnya mendesak Kementerian Dalam Negeri membuat rayuan perbicaraan semula terhadap kes tersebut.

Pandangan: Dalam isu ini hanya Yang Dipertuan Agong dan Sultan Selangor telah menegaskan pendirian baginda terhadap agama dan kepentingan umat Islam terhadap isu penggunaan kalimah `Allah'. Bagaimana pula dengan pendirian Majlis Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama negeri-negeri lainnya? Masih belum ada 1 suara dipihak sultan-sultan untuk terus melihat isu berkaitan agama Islam ini, apatah lagi isu ini dibicarakan di Mahkamah Sivil yang melibatkan hakim bukan Islam?

HUJAN EMAS DI NEGERI ORANG

Harian Metro (17/1/2010) melaporkan terdapat 20 rakyat Malaysia berada di negara Amerika Latin iaitu 13 daripadanya ditahan di penjara atas pelbagai kesalahan jenayah antaranya dadah.
Timbalan Menteri Luar, Senator Kohilan Pillai berkata, sekurangnya Rm7,500 diperlukan bagi membawa pulang setiap tahanan. Beliau menjelaskan kerajaan tidak mampu menanggung jumlah itu kerana polisi kerajaan tidak boleh suka-suka keluar belanja bawa balik rakyat Malaysia yang ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah di luar negara walaupun empat wanita warga Malaysia sudah pun mendapat pengampunan tetapi terkandas di Peru kerana tidak mempunyai wang bagi membiayai penerbangan pulang ke tanah air.
Sebaliknya beliau memberikan alternatif masalah ini hanya dapat diselesaikan dengan bekerjasama NGO antaranya mengunakan khidmat Biro Komuniti Pemuda UMNO yang dibawah penyelarasan kementerian yang telahpun membawa pulang seorang rakyat kita yang dipercayai seorang pesakit mental telah menjadi mangsa kepada modus operandi pengedaran dadah antarabangsa.

Pandangan: Simpati kepada 4 lagi wanita terbabit hanya Rm7,500 sukar diperoleh untuk pulang ke Malaysia. Tidak pula ada usaha secara jitu untuk mengutip derma bagi membantu wanita ini dilakukan oleh mana-mana NGO. Saya pasti ramai rakyat Malaysia yang simpati kepada nasib empat wanita ini yang telah menjadi `keldai dadah' kerana niat awalnya ingin mencari kehidupan yang lebih baik di luar negara. Berat biarlah sama dipikul ringan sama-samalah dijinjing...