Rabu, 13 Januari 2010

SEKELUMIT KASIH SUAMI

Pagi Rabu 13/1/2010 :Lebih kurang jam 8.20, saya melihat sepasang suami isteri. Si isteri sedang berjalan menuju ke deretan bangunan pejabat manakala suaminya pula melihatnya dari arah belakang di atas sebuah motorsikal yang dinaiki bersama dari rumah untuk menghantar isterinya ke tempat kerja sebelum si suami ke pejabatnya pula.
Si isteri menyeberang jalan, suaminya memandang dari belakang. Si isteri menghampiri pintu kaca pejabatnya, si suami terus memandang dari belakang. Si isteri tadi menaiki mata anak tangga satu persatu, si suami terus memandang. Sehingga aku melihat hujung kaki isteri hilang dari pandangan, si suami terus memandang. Lalu kemudian si suami berlalu dengan motosikalnya meninggalkan deretan bangunan pejabat tempat isterinya bekerja setelah dia
pasti isterinya `selamat' tiba.

Moralnya: Aku dapat merasakan betapa kasihnya suami itu kepada isterinya. Merenung terus susuk tubuh isterinya sehingga hilang dari pandangan matanya, tanpa si suami menyedari ada mata lain pula yang memerhatikannya dari belakang. Saya rakan sepejabat kepada isterinya yang melalui pintu masuk berkaca yang sama. Beruntunglah bagi si isteri ini kerana kasih suaminya. Tapi mungkin isteri itu tidak menyedari agaknya si suami tadi menunggu-nunggu mungkin isterinya akan menoleh melihatnya atau melambaikan tangan ke arahnya
tetapi si isteri tidak langsung menoleh kebelakang lagi kerana semangat untuk memulakan kerja atau menyangka suaminya sudah berlalu pergi. Apa kata lain kali toleh sedikit ke belakang dan lambailah tangan kepada suami anda tanda ucapan terima kasih kerana menghantar anda ke tempat kerja. Agar kasih terus bertaut kuat.

Tiada ulasan: